Tuesday 9 July 2013

APA ITU HAK PENGGUNA?

Hak pengguna ialah satu bentuk peraturan yang dibuat oleh kerajaan bagi melindungi hak serta kepentingan para pengguna. Pengguna bermaksud orang yang menggunakan perkhidmatan, barang dan alam sekitar untuk memenuhi keperluan dan kehendak dalam kehidupan.

Pada masa ini, lapan hak asasi pengguna ini telah diterima secara universal. Selain daripada mengiktiraf 15 Mac sebagai Hari Hak Hak Pengguna Sedunia, aspek-aspek hak asasi pengguna ini diambilkira apabila negara menggubal, meminda atau mengkaji semula sesuatu undang-undang yang ada hubungkait dengan pengguna.

Antara hak dan tanggungjawab tersebut ialah :
1)      Hak untuk mendapatkan keperluan asas
Kita sebagai pengguna berhak untuk mendapatkan barang dan perkhidmatan asas bagi menjamin kehidupan yang memuaskan. Keperluan asas termasuk makanan yang mencukupi, tempat tinggal yang selamat, pakaian, kemudahan kesihatan, kemudahan pendidikan dan sebagainya.

2)      Hak untuk mendapatkan keselamatan
Kita sebagai pengguna dilindungi daripada pemerosesan dan pemasaran barang serta perkhidmatan yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri kita.

3)      Hak untuk mendapatkan maklumat
Kita sebagai pengguna mesti diberi maklumat yang mencukupi dan tepat untuk memudahkan bagi membuat keputusan yang bijak. Kita juga perlu dilindungi daripada dakyah dan pembohongan pengiklanan, pelabelan dan amalan lain yang palsu, penipuan dan penyelewengan.

4)      Hak untuk membuat pilihan
Kita sebagai pengguna perlu memastikan mendapat maklumat langsung mengenai pelbagai keluaran dan perkhidmatan. Kita perlu diberikan penerangan yang dapat memberi pilihan dalam membuat keputusan. Perlu ada jaminan bagi menentukan mutudan perkhidmatan memuaskan dengan harga yang berpatutan.

5)      Hak untuk bersuara
Kita sebagai pengguna perlu memastikan mendapat pembelaan yang sewajarnya dalam penggubalan dasar kerajaan dan tindakan yang cepat serta saksama daripada sudut pengadilan.

6)      Hak untuk mendapatkan ganti rugi
Kita sebagai pengguna berhak mendapat penyelesaianuntuk pembeliankeluaran yang cacat atau berbahaya ataupun perihal dagangannya yang mengelirukan serta pampasan bagi perkhidmatan yang menyeleweng atau tidak menepati perjanjian. Ganti rugi harus diberi bagi keluaran atau perkhidmatan yang mengakibatkan kecederaan kepada penggunanya yang menggunakan keluaran atau perkhidmatan itu mengikut arahan pengeluar. Ganti rugi juga wajib diberikan kepada pengguna yang menjadi mangsa akibat kecuaian majikan. 

7)      Hak untuk mendapatkan pendidikan pengguna
Kita sebagai pengguna berhak untuk mendapat pendidikan pengguna yang mencukupi dan berterusan. Ini kerana sistem pendidikan lazimnya tidak memberi perhatian yang sewajarnya kepada pendidkan pengguna. Falsafah pendidikan pengguna masa ini lebih cenderung untuk melatih pelajar menjadi pekerja atau majikan yang berkesan dan kurang melatih bagaimana hendak menjadi pengguna yang bijak.

8)      Hak untuk mendapatkan alam sekitar yang sihat dan selamat
Sebagai seorang pengguna, kita berhak hidup dan bekerja dalam alam sekitar yang bersih dan sihat serta bebas daripada sebarang keadaan yang berbahaya. Hak ini perlu diperjuangkan oleh kita kerana kadar pencemaran kian meningkat dan adanya unsur alam semula jadi yang semakin pupus atau dimusnahkan.

No comments:

Post a Comment