Sunday 28 July 2013

Keganasan rumah tangga

Maut didera suami

Kuala Lumpur: Dipijak di muka dan dicucuh dengan api rokok hingga mati. Begitulah nasib malang menimpa seorang ibu kepada empat anak, termasuk seorang kelainan upaya, di Kampung Bahagia, Jalan Puchong, di sini, kelmarin.

Lebih memilukan, wanita itu, Nurhidayah A Ghani, 29, dipercayai diperlakukan sedemikian oleh suaminya berusia 39 tahun yang dikahwini 11 tahun lalu.

Menceritakan kejadian itu, kakak mangsa, Ummi Kalsom berkata, adiknya menerima nasib malang selepas melahirkan anak sulung yang kini berusia 10 tahun dan kurang upaya.

“Keadaan anak sulung mereka bukan penyebab utama arwah dibelasah, namun tabiat suaminya yang ketagih dadah dan arak selain panas baran menyebabkan adik saya menjadi mangsa belasahannya.


“Arwah sering melarikan diri ke rumah keluarga di Kampung Muhibah, Jalan Puchong, namun suaminya pandai memujuk dan membawanya pulang ke rumah” katanya ketika ditemui di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.-mymetro



Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan berlaku di mana sahaja, tanpa mengira agama, bangsa, kedudukan atau taraf pendidikan.

Akta Keganasan Rumah Tangga telah diluluskan pada 1994 dan berkuatkuasa pada 1996. Keganasan rumah tangga diklasifikasikan di bawah bidang kuasa jenayah dan dibaca bersama-sama Kanun Keseksaan dan Kanun Prosedur Jenayah. Akta ini menyediakan perlindungan bagi wanita yang didera oleh suaminya untuk mendapatkan Perintah Perlindungan Sementara (IPO) serta berlindung di rumah-rumah perlindungan.    

Namun masih ramai pihak yang tidak memahami konsep IPO atau menerangkan kepada wanita keperluan untuk mendapatkannya. Apatah lagi melihat keganasan rumah tangga itu sebagai satu isu hak asasi manusia. Hak untuk hidup dan hak kepada kehormatan diri adalah hak dasar yang diakui oleh undang-undang antarabangsa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengguna pakai Konvensyen Penghapusan Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW). Malaysia merupakan negara ahli konvensyen tersebut.

Selain itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) ditubuhkan yang dipimpin oleh Y.B. Dato' Sri Shahrizat Abdul Jalil (2001 - Februari 2008) sebagai menteri yang bertanggungjawab untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya peranan golongan wanita dan institusi kekeluargaan untuk mencapai agenda pembangunan negara. Masyarakat juga diberi kesedaran dan bimbingan dalam aspek pembangunan sosial terutamanya kebajikan masyarakat, bagi mencapai matlamat ke arah mewujudkan masyarakat penyayang dan masyarakat maju selaras dengan Wawasan 2020.



2 comments:

  1. Keganasan rumah tangga sering kali berlaku disebabkan sikap suami yang penuh unsur negatif. Langkah isteri yang cuba berbaik dan bertahan demi anak mereka amatlah berisiko lebih-lebih lagi jika suami beliau sememangnya seorang yang berbahaya dan ganas. Adalah wajar sekiranya isteri tersebut berpindah bersama anak-anak atau meminta cerai dan perpisahan secara aman supaya keganasan rumah tangga dapat dihentikan.

    ReplyDelete
  2. terima kasih kerana memberi pandangan.saya sebagai kaum wanita juga berpendapat seperti anda.seharusnya wanita perlulah mempunyai sikap yang tegas,bukannya sebagai seorang yang boleh dipijak-pijak

    ReplyDelete